RUJUKAN

Pertumbuhan Ekonomi Malaysia 2025 menyerlah di sebalik ketidaktentuan global

-Gambar hiasan-

MALAYSIA menyerlah sebagai sinar harapan dalam kestabilan dan kemajuan di Asia Tenggara apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengatasi jangkaan dalam tiga suku pertama tahun ini dalam era kemajuan teknologi di sebalik ketidaktentuan global dan persaingan sengit.

KDNK negara meningkat 4.2 peratus, 5.9 dan 5.3 masing-masing dalam tempoh suku ketiga, melepasi jangkaan awal, ia menarik pelabur asing untuk melabur dalam pelbagai sektor termasuk semikonduktor dan pusat data di negara ini.

Berita baiknya, pertumbuhan disokong ringgit mencatatkan prestasi positif, kestabilan politik, inflasi rendah dan sektor pelancongan berkembang maju, iaitu prestasi membanggakan dalam persekitaran ketidaktentuan dalam dunia dipenuhi cabaran perdagangan seperti kecenderungan untuk melakukan langkah perlindungan ketika ini.

Langkah perlindungan bermaksud dasar ekonomi menyekat kemasukan barangan import dari negara asing melalui langkah tertentu seperti pengenaan tarif pada barangan import, kuota import serta pelbagai peraturan ekonomi lain.

Di sebalik kebimbangan pada awal 2024, ringgit naik 14.9 peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga dan mencatat prestasi baik berbanding mata wang lain.

Ia turut disumbang perbelanjaan domestik pesat, aktiviti pelaburan kukuh dan peningkatan berterusan dalam eksport.

Pencapaian membanggakan lain termasuk lebihan imbangan pembayaran akaun semasa (CAB) sebanyak RM2.2 bilion atau 0.4 peratus daripada KDNK pada suku ketiga.

Antara pendapatan utama negara, hasil petroleum dianggarkan lebih rendah pada RM64 bilion atau 3.2 peratus daripada KDNK kerana Malaysia terus bergantung kepada hasil minyak dan gas.

Hasil eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit dijangka mencecah RM110 bilion berikutan permintaan eksport lebih tinggi terutama dari China.

Dalam mengetuai usaha untuk ekonomi lebih baik, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keupayaan Malaysia menghadapi keadaan mencabar disebabkan asas ekonomi kukuh.

Daya tahan Malaysia terserlah walaupun perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, perang Russia-Ukraine, persaingan sengit untuk pelaburan dan perlindungan seperti ditunjukkan menerusi tarif lebih tinggi dikenakan AS, contohnya pada panel solar.

Penegasan Anwar bahawa rangka kerja Ekonomi MADANI berperanan penting dalam memupuk aktiviti nilai tambah lebih tinggi melalui pendigitalan dan teknologi meningkatkan daya saing Malaysia sangat wajar.

Berlatarkan itu, beliau yakin KDNK negara akan berlegar antara 4.8 hingga 5.3 peratus untuk 2024 yang akan menetapkan tahap pertumbuhan 4.5 hingga 5.5 peratus tahun depan.

Perdagangan negara kekal berdaya tahan

Perdagangan Malaysia mencatatkan nilai berkala tertinggi, berkembang 9.3 peratus kepada RM2.383 trilion dalam tempoh 10 bulan pertama 2024 daripada tempoh sama pada 2023.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melaporkan negara mencatat lebihan dagangan RM102.77 bilion dalam tempoh itu dengan eksport meningkat 4.8 peratus kepada RM1.243 trilion, manakala import melonjak 14.6 peratus kepada RM1.14 trilion.

Untuk sepanjang tahun, perdagangan diunjurkan berkembang 9.4 peratus dengan eksport dan import masing-masing meningkat 5.6 dan 13.8 peratus.

Bagaimanapun, Malaysia kekal terdedah kepada kelemahan global termasuk ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan, ketidaktentuan dalam pasaran kewangan dan prospek pertumbuhan berbeza membabitkan rakan dagangan terutama China.

Mengambil langkah berhati-hati menjadi keutamaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kerana perlu memantau risiko berdagang dan mengatasinya terutama melalui aktiviti promosi digiatkan dan membuka pasaran eksport baharu.

Terdapat kebimbangan sekarang susulan amaran Presiden AS, Donald Trump bahawa Washington akan mengenakan tarif ke atas negara BRIC. AS mengenakan tarif ke atas panel solar dari Malaysia untuk melindungi pasaran panel solarnya.

Malaysia tarik pelaburan RM160 bilion

Landskap pelaburan Malaysia separuh pertama 2024 kukuh dengan minat semakin meningkat dalam teknologi, industri hijau dan sektor pembuatan termaju.

Malaysia menarik RM160 bilion pelaburan diluluskan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, meningkat 18.0 peratus daripada RM135.6 bilion pada separuh pertama tahun lepas.

Pelaburan domestik menyumbang 53.4 peratus atau RM85.4 bilion manakala pelaburan asing menyumbang 46.6 peratus atau RM74.6 bilion, mewakili pertumbuhan dua angka tahun ke tahun masing-masing 19.1 peratus dan 16.7 peratus.

Sektor perkhidmatan dan pembuatan menarik sebahagian besar pelaburan daripada perkhidmatan hartanah serta subsektor maklumat dan komunikasi, selain pembuatan elektrik dan elektronik (E&E).

Kerajaan juga bertekad meletakkan Malaysia sebagai destinasi kecerdasan buatan (AI) dan pusat data mampan di Asia Tenggara untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan global terkemuka.

Malaysia terus meningkatkan rantaian nilai industri cip dengan beberapa cadangan pelaburan dibuat syarikat terkemuka dalam teknologi tahun ini, sebahagiannya disebabkan ketegangan perdagangan AS-China.

Ia termasuk pelaburan AS$2.2 bilion (RM9.8 bilion) Microsoft untuk infrastruktur teknologi awan dan AI dalam tempoh empat tahun akan datang; pelaburan AS$2 bilion (RM8.92 bilion) Google untuk menempatkan pusat data pertama dan rantau Google Cloud serta Amazon Web Services (AWS) AS$6.2 bilion (RM27.65 bilion) sebagai sebahagian komitmen jangka panjang hingga 2038.

Pelaburan asing lain ketara ialah gergasi semikonduktor Jerman Infineon Technologies AG, iaitu tambahan 5 bilion euro (RM24 bilion) di Kulim dan cadangan pelaburan AS$1.2 bilion (RM5.35 bilion) Enovix Corporation dalam tempoh 15 tahun akan datang.

Pada Oktober tahun ini, Malaysia diterima masuk sebagai antara 13 negara rakan kerjasama dalam BRICS antara kerajaan, blok secara kolektif menyumbang satu per lima daripada perdagangan global.

Kemasukan ini dan menjadi pengerusi ASEAN 2025 sudah pasti akan meletakkan negara sebagai jambatan dalam memperjuang daya tahan ekonomi serantau dan kerjasama antara kedua-dua blok itu.

Ketua Penyelidikan Pelaburan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian, Mohd Sedek Jantan, berkata sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berada dalam kedudukan unik untuk menggalakkan ekonomi Asia Tenggara meneroka potensi manfaat ekonomi dengan menjajarkan negara dengan BRICS.

“Memandangkan kedua-dua ASEAN dan BRICS terdiri daripada pasaran baharu muncul dengan trajektori pertumbuhan ekonomi ketara terdapat asas kukuh untuk meneroka kepentingan saling melengkapi,” katanya.

Selain Malaysia, 12 negara lain dimasukkan secara rasmi ke BRICS ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Momentum pertumbuhan sihat berterusan

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff bersetuju dengan pandangan pertumbuhan Malaysia sangat positif, disokong permintaan domestik pesat dan peningkatan semula dalam eksport walaupun menghadapi cabaran global.

“Saya menjangkakan Malaysia akan mempunyai satu lagi pertumbuhan positif tahun depan dengan eksport lebih tinggi dan ringgit terus mengukuh dan Bursa Malaysia melihat peningkatan aliran masuk modal daripada pelabur portfolio asing.

“Ini disebabkan Malaysia melabur banyak dalam infrastruktur seperti rangkaian 5G dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan siap tidak lama lagi serta memudahkan proses menubuhkan perniagaan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, ia akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan menggalakkan perniagaan tempatan berkembang ke peringkat global dibantu pelbagai perjanjian unilateral dilaksanakan kerajaan.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Emeritus Barjoyai Bardai, berkata kerajaan dalam jangka panjang perlu mengurangkan pergantungan kepada Singapura yang menjadi rakan dagang kedua terbesar Malaysia.

“Singapura mempunyai perdagangan entrepot, ia mengimport dari negara jiran dan mengeksport kembali ke Malaysia dan sebaliknya.

“Bagi jangka panjang, kita (Malaysia) perlu melihat bagaimana untuk mengurangkan pergantungan kepada perdagangan melalui Singapura,” katanya.

“Jika boleh, kita elakkan berniaga melalui orang tengah. Kita mahu berdagang secara langsung dengan pengimport dan pengeksport,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan itu dibangkitkan perniagaan tempatan yang terdiri daripada pengeksport dan pengimport.

“Mereka mungkin sudah biasa (selesa) berurusan dengan Singapura dan melihat perdagangan melalui negara itu sebagai cara paling mudah.

“Jadi mereka tidak mempunyai inisiatif untuk mencari pembeli yang boleh mereka beli secara langsung. Mungkin insentif kerajaan diperlukan untuk mendorong peniaga kita membeli terus daripada sumber asal atau menjual terus kepada pembeli akhir,” katanya.